Kaidah Fikih > Kesimpulan
Sebagai
kesimpulannya, qawa’id fiqhiyyah (kaedah fiqh) ialah suatu kaedah dalam
undang-undang Islam yang disusun oleh para ulama’ untuk menjadi asas untuk
memahami dan mengembangkan fiqh Islam tentang kaedah-kaedah hukum. Kalau tidak
wujud kaedah ini, maka hukum-hukum fiqh akan merupakan hukum-hukum furu’ yang
terpisah-pisah dan kadang-kadang pada zahirnya boleh menimbulkan pertentangan
antara satu sama lain tanpa dasar-dasar yang dipegang dalam pemikiran, yang
menerangkan alasan-alasan konkrit, yang menentukan arah perundangan.
Walaubagaimanapun,
kaedah fiqh tidak merangkumi semua masalah, dalam situasi tertentu kaedah fiqh
ini tidak sesuai dipakai. Justeru itu, para ulama’ mentakrifkan kaedah fiqh ini
sebagai kaedah yang bersifat majoriti atau aglabiyyah. Atas dasar
itulah, para fuqaha’ tidak mengharuskan para hakim ketika membuat penghakiman
bergantung atau berpegang sepenuhnya kepada kaedah-kaedah yang dinyatakan tanpa
merujuk kepada nas lain yang bersifat khas atau ‘am yang mencakupi kes itu, ini
kerana kaedah fiqh ini walaubagaimana bernilai dan diambil pakai dalam
perlaksanaan hukum sekalipun, ia tetap mempunyai masalah-masalah yang dikecualikan.
Dalam
erti kata lain, kaedah fiqh ini mestilah disokong dengan nas-nas lain bagi
menentukan sesuatu perkara itu, sama ada ia dibolehkan atau tidak. Sungguhpun
kaedah fiqh ini sifatnya tidak menyeluruh, namun ia tidak bererti akan
mengurangkan nilai ilmiyahnya. Ini kerana terdapat di dalam kaedah-kaedah itu
suatu gambaran-gambaran yang menarik berkaitan prinsip-prinsip fiqh yang umum
yang membuka landasan-landasan prinsip itu daripada segi teorinya,
Bahkan,
kaedah fiqh ini memantapkan hukum-hukum cabang yang amali dengan beberapa
kaedah yang menjelaskan illah atau sebab hukum pada setiap kelompok hukum furu’
ini. Kaedah ini juga mengumpulkan hukum-hukum cabang di bawah satu kaedah
walaupun berlainan tajuk dan babnyaSumber: http://www.radiorodja.com