Kaidah Fikih-5 > Adat dijadikan hukum ( العادة محكّمة )
Kaedah
ini membawa maksud sesuatu adat kebiasaan itu dapat ditetapkan sebagai hukum
atau adat menentukan hukum. Untuk itu, para ulama’ menetapkan bahawa ‘uruf dan
adat kebiasaan itu merupakan salah satu daripada sumber hukum dalam keadaan
ketiadaan nas syarak. Namun, jika adat atau ‘uruf kebiasaan itu
bercanggah dengan nas, ia ditolak serta merta. Sebagai contoh adat masyarakat
Jahiliyyah yang mengharuskan anak lelaki mengahwini bekas isteri bapanya atau
ibu tirinya.
Berdasarkan pengertian adat dan ‘uruf, ada sedikit
perselisihan dalam kalangan ulama’ untuk mentafsirkannya. Namun, ianya adalah
perbezaan kecil sahaja sedangkan skop dan konsepnya adalah sama. Adat ialah apa
yang menjadi kebiasaan orang ramai atau segolongan dari kalangan mereka. Ia
merupakan perkara yang diulang-ulang menurut kebiasaan sesuatu golongan
mengikut cara tertentu dan diterima sebagai logik. Menurut al-Jurjani, adat
adalah sesuatu perbuatan atau perkataan yang terus menerus dilakukan oleh
manusia. Apa yang penting ialah ia dapat diterima oleh akal manusia serta
dilakukan secara berulang-ulang. ‘Uruf pula ialah perkara yang dapat
diterima dan disenangi menurut perasaan manusia. Ia adalah perkara yang tetap
dalam diri manusia dari segi akal dan diterima oleh tabiat semulajadi yang
sejahtera. Untuk itu, ‘uruf ialah perkara yang selaras dengan perasaan
dan tabiat manusia yang mana merangkumi perkataan dan perbuatan.
Sumber: http://www.radiorodja.com
Sumber: http://www.radiorodja.com