Artikel Education, General And Islamic

Kaidah Fikih > Faktor terbentuknya Qawaid Fiqhiyah

Artikel terkait : Kaidah Fikih > Faktor terbentuknya Qawaid Fiqhiyah


Menurut al-Sayuti dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir, judul asal kitab yang dikarang berkaitan dengan kaedah Fiqh, khasnya kitab-kitab yang diberi nama al-Ashbah wa al-Naza’ir tersebut diambil sempena dengan surat khalifah Umar al-Khattab kepada Abu Musa al-Asy’ari yang antaranya ialah :
الفهم الفهم فيما يختلج في صدرك, مما لم يبلغك في الكتاب والسنة, أعرف المثال ولأشباه ثم قس الأمور عندك, فاعمد الى أحبّها الى الله وأشبهها بالحق فيما ترى
Maksudnya : fahamilah benar-benar masalah yang engkau hadapi yang mana hukum-hukumnya engkau tidak temui di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ketahuilah persamaan dan sebanding serta menujulah ke arah yang lebih disukai oleh Allah SWT dan lebih hampir kepada yang benar.
Antara faktor yang membawa kepada terbentuknya kaedah fiqhiyyah ini ialah peranan para ulama’ dan mujtahid. Golongan ini memainkan peranan mereka menggunakan akal fikiran berdasarkan ilmu daripada sumber perundangan, selaras dengan konsep syariat yang sesuai dilaksanakan tanpa mengira masa dan tempat. Justeru itulah para mujtahid berusaha dengan berijtihad untuk memahami nas-nas dan mempraktikkan kaedah-kaedah yang umum terhadap masalah furu’ yang baru dan sentiasa muncul.  Sebagai contoh, melalui konsep al-Qiyas, Istihsan, ‘Uruf serta berbagai sumber lain lagi.
Oleh yang demikian, apabila terdapat hukum furu’ yang sama ‘illah atau sebabnya, ia digabungkan dalam kaedah umum iaitu al-Qawaid al-Kulliyyah al-‘Ammah. Kaedah ini merupakan kaedah umum serta menyeluruh yang meliputi semua hukum furu’ dan segala bahagiannya. Walaupun dalam rangka ijtihad terdapat dalil-dalil yang bersifat zanni yang diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dan para mujtahid, namun mereka semua bersatu dan bersepakat berusaha ke arah yang terbaik demi mencari keredhaan Allah SWT.
Dalam konteks lain, para ulama’ dan mujtahid mengkaji dan mendalami semua ruang serta sumber perundangan Islam  yang luas dan berijtihad dengan ilmu yang mereka ada untuk memahami nas-nas dalam mengkaji prinsip-prinsip syariat yang sesuai dengan keadaan masa dan tempat. Justeru itu, mereka mempraktikkkan kaedah yang berbentuk umum terhadap masalah khusus atau furu’ yang baru serta sentiasa wujud dalam masyarakat.
Antara faktor lain yang membawa kepada terbentuknya kaedah  fiqhiyyah ini sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama’ dan fakta sejarah ialah kerana terdapat nas-nas yang dapat ditafsirkan dengan berbagai-bagai. Iaitu ada nas yang berbentuk umum yang merangkumi pelbagai masalah, dan ada nas yang mutlaq yang mana melahirkan pendapat-pendapat untuk mengikatnya atau untuk memuqayyadkannya.
Selain itu, kaedah fiqhiyyah ini juga muncul akibat terdapat kaedah-kaedah umum yang berasaskan adat kebiasaan yang muncul dalam perkembangan hidup manusia dari satu generasi ke satu generasi lain untuk disesuaikan dengan masalah-masalah hukum furu’. Oleh yang demikian, ia memerlukan sumber-sumber akal fikiran dan amalan-amalan yang berterusan sebagai adat atau ‘uruf untuk mengeluarkan hukum yang fleksibel di samping untuk menangani persoalan semasa yang sentiasa wujud dan berterusan sehinggan kini.[8]

Sebagai rumusannya, disebabkan oleh masalah fiqh dan furu’ yang terlalu banyak dan luas, maka perlulah kepada penetapan prinsip-prinsip atau kaedah-kaedah tertentu agar menjadi mudah untuk mengembalikan atau menggolongkan masalah-masalah fiqh yang lahir. Justeru itu, para ulama’ telah mengembalikan semua masalah furu’ tersebut kepada lima kaedah asas yang utama. Ekoran daripada itu juga, maka terbentuklah pelbagai kaedah kulliyyah dan juz’iyyah yang banyak.[9]

Sumber: http://www.radiorodja.com

Artikel Arwave Blog Lainnya :

Copyright © 2015 Arwave Blog | Design by Bamz